SRI An-Nur

PENGENALAN


    Sekolah Rendah Islam An–Nur adalah sebuah sekolah rendah swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Seperti yang terpapar pada namanya, sekolah ini berteraskan pendidikan Islam di peringkat rendah dengan penekanan kepada pendidikan Al-Quran, Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam lazimnya. Dalam hal sedemikian pun SRI AN NUR tidak ketinggalan dalam memberi pendidikan bersepadu dengan matapelajaran-matapelajaran akademik seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pendidikan Negara.

    Walaupun SRI AN-NUR adalah sebuah sekolah swasta, perlu diperjelaskan di sini yang SRI AN-NUR tidak bermotifkan keuntungan. Yuran yang dikenakan adalah semata-mata untuk pengurusan sekolah, termasuk bayaran gaji bulanan guru-guru. Sri An-Nur tidak mendapat apa-apa bantuan dari mana-mana badan dan institusi dan beroperasi sepenuhnya hasil daripada yuran pelajar yang dipungut.

    Dengan yuran pelajaran terendah bagi S.R.I di sekitar Bandar Kota Bharu, maka sudah tentulah ganjaran kepada guru-gurunya juga adalah rendah. Tetapi semua guru-guru di SRI An-Nur ini terdiri dari mereka yang komited dengan perjuangan untuk melahirkan generasi Al-Quran dan zuriat yang soleh, Insya Allah.


    Pada awalnya, SRI An-Nur beroperasi dari bangunan-bangunan yang sangat uzur yang di bina di atas tanah yang di sewa. Lokasi bangunan sekolah yang buruk dan daif ini terletak bersebelahan Sekolah Menengah Chung Hwa yang tersergam indah dengan bangunan batu empat tingkatnya. Untuk tidak menjatuhkan imej Islam yang mulia inilah, maka jemaah pengelola sekolah telah memutuskan pada tahun 1995 agar tapak tanah sekarang yang seluas satu ekar itu di beli dan di bina satu kompleks persekolahan Islam yang sekurangnya setanding ( kalau tidak lebih pun ) dari sekolah kuffar yang bersebelahan itu.

    Bermula dari situlah usaha-usaha telah di buat untuk membeli tanah itu dengan harga sebanyak RM300,00.00. Lapan puluh ribu telah dipungut dan di bayar kepada tuan tanah dan bakinya mesti dijelaskan selewat-lewatnya pada suku pertama 1998 ini. Pembinaan bangunan kompleks itu akan membabitkan perbelanjaan hampir RM 3 juta, dengan asramanya sekali. Untuk menjayakan projek inilah maka pungutan derma melalui pelbagai cara telah dilancarkan dengan harapan akan adalah hamba-hamba Allah yang berminat untuk melabur dalam saham akhirat ini.

    Dengan usaha gigih pihak pengurusan, tanah ini telah berjaya dibeli, namun pembelian ini masih menanggung hutang kepada individu yang sanggup meminjamkan sejumlah wang untuk memastikan pembangunan An Nur lebih terjamin dan tersusun.


SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH RENDAH ISLAM AN-NUR KOTA BHARU, KELANTAN



    Kompleks pendidikan Islam An-Nur merupakan sebuah institusi pendidikan yang menjalankan aktiviti di bidang pendidikan Islam dan pengajian Al-Quran. Kedudukannya dikira strategik kerana terdapat berbagai- bagai kemudahan seperti pengangkutan dan perhubungan komunikasi, dan berhampiran dengan pusat kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat. Pada masa ini kompleks pendidikan Islam An-Nur menawarkan pendidikan diperingkat sekolah rendah yang dinamakan Sekolah Rendah Islam An-Nur atau ringkasnya SRI An-Nur dan diperingkat PRA sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam An-Nur.

    Di awal penubuhannya, kompleks pendidikan Islam An-Nur dikenali sebagai institut An-Nur yang mengadakan kursus-kursus PMR, SPM, STPM dan STU dalam bidang Syariah dan Usuluddin. Kursus-kursus tersebut ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang telah terkandas dalam peperiksaan mereka. Pada tahun 1996 pihak pengurusan telah membuat permohonan rasmi bagi menukar status institut kepada sekolah SRI  yang menggunapakai silibus KBSR yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran.

    Penerapan awal kanak-kanak kepada Pendidikan Islam memainkan peranan yang penting ke arah pembentukkan insan mulia yang berakidah Islam. Ia juga satu cara yang berkesan untuk menghindari dari terjebak dengan aktiviti-aktiviti negatif yang terdapat dalam masyarakat. Di atas kesedaran inilah pihak pengurusan An-Nur telah mengambil keputusan memperkenalkan pendidikan Islam diperingkat sekolah rendah.

    Lantaran itu, pada tahun 1989 bermulalah Sekolah Rendah Islam yang dikenali dengan nama SRI An-Nur atau An-Nur sahaja. Kelas PRA sekolah dimulakan pada tahun 1996.

    Kini SRI An-Nur mempunyai bilangan murid melebihi 250 orang dengan 19 orang kakitangan akademik dan seorang pegawai kerani.

Peringkat Perkembangan An-Nur


    Pada peringkat permulaan, sekolah Islam An Nur bermula di bangunan-bangunan yang sangat daif dan uzur. Selain dari itu, tapak sekolah juga hanya disewa. Lokasi sekolah yang serba kedaifan ini bersebelahan dengan Sekolah Chung Hwa yang amat gah fizikal dan strukturnya. Bertitik tolak daripada ini, pihak pengurusan telah memutuskan pelan jangka, agar menjadi lebih baik dari sekolah cina yang menjadi tetangganya. panjang bagi menaikkan imej pendidikan Islam.

    Statistik terkini enrolmen para murid adalah sebanyak 236 murid-murid diperingkat sekolah rendah dan  20 pelajar untuk sekolah menengah. Secara amnya, kakitangan sekolah ini seramai 25 orang termasuk kerani dan tukang kebun.

    Pada awal penubuhan sekolah ini tidak mendapat persaingan dari segi jumlah sekolah  Islam. Namun dekad 1990 menunjukkan perubahan trend pembukaan sekolah rendah Islam atau SRI.

    Penubuhan SRI-SRI memberikan aras positif perkembangan masyarakat terhadap pendidikan yang dipelopori Sri. Di satu sudut yang lain, pihak pengurusan Kompleks Tarbiyyah An Nur terpaksa mengubah paradigma untuk memastikan daya saing sekolah terus kekal dan tidak ditenggelami dengan kemunculan Sri yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

    Oleh itu pada 2007 satu transformasi secara tersusun untuk meningkat kualiti pendidikan di kompleks ini. Pada 2008 pula, sebuah Maahad Tahfiz dan Qiraat telah berjaya ditubuhkan bagi memperkasa pelan transformasi ini. Sri An Nur lebih menjurus kepada penduduk tempatan, manakala Maahad Tahfiz membuka lebih pasaran pendidikan di luar Kelantan.

    Selari dengan penambahbaikan pengurusan, pihak pentadbiran juga dalam usaha merangka kerjasama strategik bukan sahaja dalam Negara tetapi menyeberangi sempadan geografi sehingga Singapura, Brunei, Arab Saudi dan lain-lain.

    Pelan  pengurusan 5 tahun, berobjektif untuk mempertingkat kualiti pendidikan, menambah hubungan strategik, menambah dana pelaburan sumber manusia, penjenamaan semula kompleks, meletakkan arah tuju kompleks dan yang paling utama, strategi melahirkan  kader-kader dalam saf pimpinan Islam Sejagat.


Peringkat-Peringkat Kerjasama Strategik

    Setakat ini Kompleks ini telah berjaya membina beberapa rangkaian korporat dan juga beberapa jaringan antarabangsa. Antara pihak yang telah dan masih membantu kearah usaha ini ialah, pihak Ingress Berhad, JCorporation, Persatuan Ulama Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura, Jabatan Pelajaran Kelantan, Harakah, Pihak pertubuhan Islam Telekom, Petronas dan   syarikat-syarikat dan individu-individu.

    Pengurusan dana kompleks ini masih aktif mencari jaringan dan sumber-sumber baru bagi merealisasikan pelan 5 tahun kompleks ini. Kebanyakkan hubungan strategik yang dirangka tidak tertumpu dari sudut kewangan malah melputi kerjasama teknikal, pertukaran idea dan beberapa bentuk kerjasama lain.

    Hubungan yang dijalin bukan sahaja memberi keuntungan sebelah pihak, tapi menjurus kepada situasi menang-menang. Mesej dunia tanpa sempadan memerlukan pimpinan kompleks ini bergerak lebih pantas dan efektif. Konsep sekolah perlu diterjemahkan ke dalam entiti yang lebih luas baik dari sudut keilmuan, dakwah, perniagaan  mahupun wacana kebangkitan ummah.

This free website was made using Yola.

No HTML skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola